Thursday, March 14, 2013

Ronaldo Bakal Berpindah Ke MU Dengan Kos RM303 Juta!


Media mendedahkan United mengadakan pertemuan dengan pegawai rasmi Nike bagi merancang mendapatkan semula bintang Real Madrid itu.


Usaha mendapatkan Ronaldo kembali mungkin memerlukan kos sekurang-kurangnya 75 juta Euro (RM303 juta) buat United sekali gus merealisasikan janji Alex Ferguson untuk menggandingkan semula bekas pemainnya itu dengan Wayne Rooney musim depan.

“Mana-mana pemain hebat pastinya dijemput pulang dengan tangan terbuka namun berbeza de­ngan Ronaldo kerana dia terlalu hebat,” kata Charlton.

“Dia menjaringkan gol dengan penuh sensasi dan sayangkan kelab dan ini waktu yang baik untuk mendapatkannya semula. Malah, saya juga adalah peminatnya sama seperti yang lain.

“Secara peribadi, saya sememangnya ingin menyaksikan dia kembali bersama United,” kata Charlton yang menggalas tanggungjawab sebagai pe­ngarah kelab.

Wakil Nike terbang ke London untuk membincang­kan perjanjian baru tajaan kemeja T dengan Red Devils namun difahamkan tujuan utamanya adalah untuk membincangkan bagaimana untuk mendapatkan semula Ronaldo.

Nike juga terdesak untuk menyaksikan bintang bola sepak Portugal itu kembali menyarungkan jersi logonya.

Buat masa ini, Nike menaja Ronaldo dalam bentuk but dan pakaian sukan tetapi kecewa pemain itu perlu memakai jersi Adidas setiap kali bersama Real Madrid setiap minggu.

Nike percaya penjenamaan syarikat secara global akan semakin kukuh dengan Ronaldo kembali bersama jersi United yang ditaja mereka.

Ronaldo menerima soko­ngan ha­ngat dari pe­nyokong United atas tindakannya mengangkat tangan tanda maaf ketika pertembu­ngan Liga Juara-Juara, minggu lalu.

Pemain berusia 28 tahun itu masih mempu­nyai baki dua tahun bersama Madrid, menjaringkan gol menundukkan United tetapi enggan meraikan jaringannya.

Sementara itu, Charlton turut mengulas mengenai kekecewaan Ferguson melihat anak buahnya tersingkir di pertembungan itu.

“Disingkirkan daripada kejohanan memang amat menyedihkan beliau. Anda perlu bekerja dengannya setiap hari untuk melihat sesuatu seperti itu.

“Namun, semangat juangnya untuk menjulang trofi masih ada dan tiada sebab untuk pasukan gagal mencapai misi terbabit. United adalah pasukan yang kukuh apatah lagi dipimpin jurulatih hebat seperti Sir Alex” .

Dalam pada itu, legenda Real Madrid, Emilio Butragueno melaungkan amaran kepada Manchester United mengenai Ronaldo.

“Cristiano masih di bawah kontrak bersama Real dan kami gembira dengan sumbangan­nya, amat hebat. Kami amat beruntung dia bersama kami dan bermain untuk Real Madrid,” kata­nya.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon