Sunday, March 03, 2013

Isu Lahad Datu - Gambar Mayat Penceroboh Di Belasah Sampai Mati!


Puluhan penduduk membelasah hingga mati seorang lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi.


Dalam insiden awal pagi ini, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam dan bersenjatakan M-16 turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna di sini.

Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan tembakan, lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa “saya yang menembak polis malam tadi”.

“Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang,” katanya yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan.

Abdul Hani berkata penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.


Beliau berkata lelaki itu dibelasah hingga mati dan mayatnya diletakkan berhampiran sebuah pokok di kampung itu.

Pesuruhjaya Sabah Datuk Hamza Taib pada sidang akhbarnya mengesahkan kejadian itu dan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, penceroboh menyelinap masuk ke kampung itu melalui jalan pantai.

“Penceroboh itu bersenjatakan M-16 dan membawa pelancar roket,” katanya sambil memberitahu bahawa siasatan mendapati lelaki itu berbangsa Sulu dan berumur dalam lingkungan 60-an.

Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer dari Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.

Penduduk kelihatan mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.

Kebanyakan penduduk di kampung itu adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit.

Kampung Sri Jaya Simunul terletak di pinggir bandar Semporna dan Kampung Senallang Lama pula kira-kira lima kilometer dari pekan itu.

Tinjauan Bernama di pekan Semporna hari ini mendapati pekan itu kini lengang apabila hampir semua premis perniagaan ditutup, termasuk tiga stesen minyak.

Pasar Awam Semporna yang biasanya begitu sibuk dengan peniaga dan pelanggan juga sepi apabila hanya kelihatan segelintir peniaga membuka gerai mereka, malah kaum nelayan juga tidak turun ke laut untuk menangkap ikan.

Sementara itu pelancong dari Republik Czech Jam Pesta, 67, yang bersama keluarganya merancang untuk bercuti ke Pulau Mabul berharap insiden pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata yang tidak dikenali itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Saya dapati Semporna mungkin antara destinasi pelancongan terbaik di dunia dan sudah tentu di kawasan Asia. Saya berharap insiden ini cepat berakhir,” katanya.

Beliau berkata rancangan percutiannya ke Pulau Mabul bersama isteri dan anggota keluarganya ditangguh ke tarikh yang belum ditentukan oleh agensi pelancongan.

“Saya sudah di sini selama dua hari. Sepatutnya esok saya dan isteri ke Pulau Mabul namun secara tiba-tiba ditangguh oleh agensi pelancongan,” katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk Kampung Sri Jaya yang ditemui pula berkata hampir kesemua kira-kira 2,000 hingga 3,000 penduduk kampung itu telah meninggalkan rumah masing-masing.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memuji tindakan berani penduduk kampung di Semporna yang menumpaskan seorang penceroboh yang dianggap beliau bukti penduduk setempat tidak bersetuju dengan kes pencerobohan di Lahad Datu.

-Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon