Sunday, March 10, 2013

Dunia Rugi RM354 Bilion Akibat Penipuan Siber


Kos berkaitan kesan serangan siber disebabkan malware bagi perusahaan diunjurkan pada RM354 bilion (AS$114 bilion) di seluruh dunia pada 2013.


Penemuan ini yang didapati dalam kajian global baharu yang dilaksanakan Microsoft Corp dan dijalankan oleh International Data Corp (IDC), juga mengunjurkan bahawa di Asia Pasifik, perbelanjaan akan mencecah RM121 bilion (AS$39 bilion).

Angka serantau meningkat kepada RM400.55 bilion (AS$129 bilion) jika kos kehilangan data diambil kira.

Pengguna juga berkongsi beban dan kos, dengan kajian yang menunjukkan bahawa hasil daripada serangan, pengguna di seluruh dunia akan membelanjakan 1.5 bilion jam dan RM68.3 bilion (AS$22 bilion), mengenal pasti dan membaik pulih daripada kesan berkenaan.

Kemungkinan terkena serangan malware yang tidak diduga, adalah satu dalam tiga pengguna dan tiga dalam 10 untuk perniagaan, di mana kesan malware ditemui di perisian cetak rompak.

Dalam satu kenyataan, Microsoft berkata kajian menganalisis 270 laman web dan rangkaian antara setara, 108 muat turun perisian dan 155 CD/DVD, di samping menemu bual 2,077 pengguna dan 258 pengurus IT, iaitu dari Brazil, China, Jerman, India dan Mexico.

Penyelidik mendapati bahawa perisian palsu yang tidak datang dengan komputer, 45 peratus dimuat turun dari internet. Daripada jumlah ini, 78 peratus datang dari laman web dan termasuk beberapa jenis spyware, manakala 36 peratus mengandungi Trojan dan adware.

Pegawai Teknologi Nasional Microsoft Malaysia Dzahar Mansor berkata realiti jenayah siber adalah pemalsu menyalahgunakan kod perisian dan dengan malware.

Beberapa malware ini membolehkan penjenayah siber mencuri maklumat peribadi dan kewangan mangsa.

"Cara terbaik untuk melindungi diri anda dan harta anda daripada ancaman malware ini ialah apabila anda membeli sebuah komputer, adalah untuk menuntut perisian tulen," katanya.

IDC merupakan penyelidik pasaran, analisis dan firma penasihat mengkhusus dalam teknologi maklumat, telekomunikasi dan teknologi pengguna.

-Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon