Tuesday, March 05, 2013

10,000 Pejuang Tausug Menyeberang Ke Sabah?


Laporan sebuah media berpengaruh Filipina (Philippine Daily Inquirer) bahawa ribuan pejuang kaum Tausug dari Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi telah belayar ke Sabah bagi membantu pengikut Jamalul Kiram III adalah tidak benar.


Sumber perisikan memberitahu, dakwaan itu telah diketahui mereka lebih awal tetapi mengesahkan bahawa ia adalah tidak benar dan tidak berasas.

Laporan Philippine Daily Inquirer itu memetik Pengerusi Jawatankuasa Majlis Agama Islam Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Habib Hashim Mudjahab yang memberitahu;


“Kami tidak boleh lagi menghentikan kaum kami. Ramai antara kami yang marah dan kebanyakan mereka, termasuklah golongan bukan pejuang, akan pergi ke Sabah bagi membantu tentera Sultan Sulu di sana,”.

Mudjahab berkata sekurang-kurangnya 10,000 orang Tausug dari Basilan, Sulu, Tawi-Tawi dan Zamboanga telah menyertai kumpulan pengikut Sultan Jamalul Kiram III dan mereka kini sedang bersembunyi di sebuah kampung di Sabah melalui sebuah laluan di Filipina yang dikenali sebagai “southern backdoor” (jalan belakang selatan), laluan yang biasa digunakan oleh para pedagang kecil.

Mudjahab berkata, kumpulan bantuan itu belayar dalam kumpulan kecil agar mudah bagi mereka untuk memasuki Sabah tanpa disedari.

“Sekatan tentera laut tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada kami, kumpulan tentera sedar akan perkara itu. Kami telah berjaya melepasi sekatan mereka ketika rejim Marcos. Kami boleh memasuki Sabah dengan mudah dan tidak mendatangkan sebarang syak,” tambah Mudhajab.

Beliau mengulas tentang sekatan tentera laut yang dilakukan oleh pasukan Tentera Laut Filipina dan Pengawal Pantai bagi memastikan tiada sesiapa pun yang akan membantu tentera Sultan Sulu yang kini berada di Sabah.

Beberapa hari lalu, Mudjahab berkata bahawa beliau telah menasihati beberapa komander MNLF supaya tidak ke Sabah bagi membantu sekumpulan 200 penceroboh di Lahad Datu yang tiba pada 9 Februari lalu bagi mendapatkan hak kesultanan di Sabah.

“Saya telah memberitahu mereka supaya tidak memberi sebarang arahan kepada pengikut mereka dan jaga emosi mereka terhadap perkara ini. Namun, Presiden Benigno Aquino III sering berpihak kepada Malaysia. Ini telah menaikkan kemarahan kaum kami. Presiden perlu sedar bahawa kaum Tausug kini sedang ditindas, dan kami perlu bangkit,” kata Mudjahab.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon