Wednesday, February 13, 2013

Komando Yang Menembak Osama Cerita Pengalaman


Seorang anggota komando tentera laut Navy SEAL Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam operasi pemburuan pengganas nombor satu dunia, Osama bin Laden, buat pertama kali menceritakan pengalamannya menembak mati pemimpin tertinggi al-Qaeda itu.


Pendedahan tersebut disiarkan di dalam majalah Esquire melalui temu bual bersama komando tersebut yang enggan dikenali tentang peranannya dalam operasi berbahaya pada Mei 2011 di Pakistan.

Katanya, Osama lebih tinggi daripada jangkaannya dan pengganas paling dikehendaki itu berasa keliru ketika pasukan elit AS berkenaan menyerbu tempat persembunyian tersebut.

"Apabila pasukan kami menyerbu masuk di tingkat tiga tempat persembunyian Osama, dia menggunakan isterinya sebagai perisai dan terdapat selaras senapang AK-47 berdekatan pemimpin al-Qaeda itu.

"Saya tidak pasti sama ada wanita tersebut memakai baju yang dilengkapi bom dan dia ditolak untuk meletupkan diri.

"Osama juga dilihat cuba mencapai sepucuk pistol, menyebabkan saya terpaksa menembaknya sebanyak tiga kali di bahagian kepala," katanya.

Menurut penembak itu, detik-detik cemas antara pasukan Navy SEAL dan Osama hanya berlangsung selama 15 saat.

Namun katanya, detik paling mencemaskan berlaku lebih awal apabila helikopter Black Hawk yang digunakan dalam operasi itu, terhempas berdekatan kubu terbabit.

"Saya berfikir kami mungkin tidak dapat keluar dari kubu tersebut memandangkan helikopter yang bakal membawa kami sudah terhempas.

"Saya fikir kami mungkin terpaksa mencuri kereta dan menyelamatkan diri ke Islamabad atau menunggu tentera Pakistan menyelamatkan kami," jelasnya.

Artikel Esquire bertajuk The Man Who Killed Osama bin Laden...is Screwed, menamakan komando terbabit sebagai 'Penembak', yang menceritakan kehidupan dirinya dalam pasukan elit AS itu yang tidak diberikan pencen, insurans kesihatan atau kawalan keselamatan terhadap keluarganya.

Pendedahan tersebut dibuat selepas seorang lagi komando Navy SEAL yang terlibat sama dalam serbuan tersebut, Matt Bissonnette menerbitkan sebuah buku bertajuk No Easy Day.

Tindakan Bissonnette itu mendatangkan kemarahan Pentagon yang mendakwanya kerana menyebarkan maklumat sulit kerajaan.

-AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon