Wednesday, February 06, 2013

Kami Lebih Hebat Daripada Manchester United - Ronaldo


Cristiano Ronaldo dengan megahnya memberitahu bahawa ‘Real Madrid mempunyai pasukan yang lebih baik’ daripada bekas pasukannya, Manchester United menjelang perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.


Ronaldo akan berdepan bekas rakan sepasukannya di United buat kali pertama sejak berpindah ke Sepanyol pada 2009 dengan perpindahan yang mencatat rekod dunia iaitu £80 juta (RM389.7 juta).

Real Madrid ketika ini berada di tangga ketiga La Liga, 16 mata di belakang pendahulu, Barcelona manakala United pula sembilan mata meninggalkan pasukan lain di puncak Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun pemain Portugal itu menegaskan pasukannya mempunyai kelompok pemain berbakat untuk diketengahkan dalam dua perlawanan timbal balik itu.

“Saya percaya semuanya berjalan lancar. Pada pandangan saya, Real Madrid mempunyai pasukan yang lebih baik tetapi kami perlu membuktikannya di padang kerana United adalah sebuah pasukan yang kukuh dan mengekalkan prestasi itu sejak bertahun lamanya,” katanya.

“United adalah pasukan yang sentiasa cemerlang, setiap tahun mereka berada di puncak dan kami menghormati mereka. Pastinya ia perlawanan yang mencabar terutamanya di Manchester.”

Ronaldo yang menghabiskan enam tahun di Old Trafford mengakui ia satu perlawanan yang penuh emosi untuknya apabila dia beraksi di Santiago Bernabeu, minggu depan.

“Sebenarnya saya ada katakan sebelum ini, saya percaya kami akan bertemu Manchester United,” katanya.

“Sekian lama saya mahu berdepan mereka. Saya mempunyai kenangan indah sewaktu berada di sana.

“Ia perlawanan yang memberi perasaan yang luar biasa bagi saya. Saya berada di sana selama enam tahun, saya mempunyai ramai rakan di sana dan seronok bertemu mereka. Ia pastinya perlawanan yang penuh dengan emosi.”

Ronaldo yang biarpun mendakwa tidak akan meraikan kejayaan jika menjaringkan gol ke gawang United, masih menghormati bekas pengurusnya, Alex Ferguson. “Beliau mengajar saya asas bola sepak. Saya tiba di Manchester ketika berusia 18 tahun. Beliau menguruskan karier saya dengan cara terbaik dan bagi saya beliau adalah antara orang yang penting dalam bola sepak,” katanya.

“Saya masih mempunyai hubungan hebat dengan beliau dan pastinya seronok dapat bertemu beliau lagi,” katanya.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon