Friday, February 15, 2013

Goma Bandar Yang Paling Bahaya Di Dunia


Bila? Pertanyaan ini menghantui sekumpulan ahli seismologi Congo bagi menentukan nasib kira-kira sejuta penduduk, bilakah Gunung Berapi Nyiragongo akan meletus?


Persoalan itu juga membawa dua saintis yang pakar mengenai gunung berapi ke Afrika.

Nyiragongo adalah menara gunung berapi yang tersergam di pinggir timur Republik Demokratik Congo.

Ia antara gunung berapi yang masih aktif di dunia, malah kajian dan laporan mengenainya masih belum mencukupi.

Meskipun tasik lava sentiasa mengalir, tujuh peneroka ekspedisi 
ini meneruskan niat untuk sampai ke tebing tasik.

Selama 20 tahun, wilayah timur Congo menyaksikan peperangan yang berterusan termasuk pembunuhan secara beramai-ramai di negara jirannya, Rwanda.

Di kaki gunung berapi itu, terhampar bandar Goma yang menerima kunjungan orang ramai untuk berlindung daripada rusuhan, pemberontakan dan kawalan tentera kerajaan.

Jumlah penduduk yang semakin ramai dianggarkan lebih sejuta orang memenuhi sekitar Goma.

Kejadian pertama berlaku pada 1977, apabila lava yang membawa batuan cair menuruni gunung berapi Nyiragongo dengan kelajuan lebih 60 batu sejam, yang terpantas pernah dicatatkan.

Meskipun lava terbabit mengeras sewaktu mengalir turun dan sebelum memasuki pusat bandar utama, beratus-ratus orang mening­gal dunia.

Pada 2002, Nyiragongo memuntahkan lebih 15 juta kilometer padu lahar ke pusat bandar Goma yang memusnahkan 14,000 rumah serta bangunan dan memaksa 350,000 penduduk lari menyelamatkan diri.

Kedua-dua letusan ini hanyalah permulaan semata-mata, ibarat anak kecil yang baru belajar bertatih kerana letusan Nyiragongo yang sebenar mampu dilepaskan tapi tiada siapa yang tahu bila ia akan berlaku?

Meramalkan kemungkinan berlakunya letusan adalah sebahagian daripada tanggungjawab pengkaji gunung berapi dari Itali, Dario Tedesco.

Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun, dia yang menerima dana daripada Kesatuan Eropah bergelut dengan usahanya yang membuat kajian saintifik mengenai gunung berapi Nyiragongo.

Menurut Tedesco, belum ada sebarang maklumat sama ada gunung berapi itu akan meletus lagi, sekali gus berpotensi mengubah Goma menjadi Pompeii moden.

Katanya, Goma bandar yang paling bahaya di dunia.

Julai lalu, Tedesco menuju ke Nyiragongo bersama Ken Sims iaitu peng­kaji gunung berapi dari Amerika Syarikat, sepasukan saintis muda dan kru sokongan termasuk enam jurupandu dan porter Kalashnikov.

Misi yang dijalankan selama tiga minggu itu adalah serupa tanggungjawab seorang doktor yang melakukan pemeriksaan fizikal ke atas pesakitnya dan rawatan itu mengambil masa panjang.

Mendapatkan ukuran gunung, mengkaji jenis batuan, sampel gas serta mentafsir kaedah dan situasi gunung berapi, jelas sekali segala-galanya memerlukan kesabaran.

Melalui pencarian itu, mereka berharap mampu mengubah persoalan apabila menemui titik jawapan.

Untuk sampai ke puncak gunung berapi Nyiragongo begitu mudah iaitu Sim dan Tedesco hanya mengikuti aliran lava sebelum itu.

Letusan yang terakhir agak berlainan dengan kebiasaan pada sebuah gunung berapi kerana dari kawah terbabit menyembur keluar asap yang bergumpal dan meninggi dikenali sebagai letusan ‘Plinian’ tetapi Nyiragongo turut mengalami rekahan letusan seperti paip pecah.

Pada 2002, perpecahan itu berlaku pada 3,470 meter iaitu beberapa ratus meter di bawah puncak.

Nyiragongo mempunyai sistem paip yang agak rumit, umpama akar pokok yang tersebar luas dan apabila litupan itu terbuka, tekanan dari dalam lubang terbuka akan memuntahkan leburan batu.

Risikonya, lava terbabit bukan saja merentasi kawasan yang berhampiran bandar Goma, malah pergerakannya turut di bawah tanah.

Haba panas bergerak perlahan-lahan melalui hutan dan kawasan kejiranan, seolah-olah lebuh raya 10 lorong sedang dibina yang merentas dari kawasan gunung hingga ke seluruh bandar.

Meskipun, letusan seterusnya akan melalui laluan dan jalan yang sama, ribuan rumah dan pondok menggunakan kayu putih dan bumbung logam tetap dibina di atas aliran lava lama.

Broker hartanah pula menjual lot kecil yang sebenarnya terdiri daripada batu lava dan ditutupi dengan dinding lava berharga RM4,637.

Jika letusan dari Nyiragongo masih tidak dikhuatiri, penduduk perlu mengambil berat mengenai tasik Kivu yang berkeluasan 1,000 batu persegi terletak 100 kilometer di utara tasik Tanganyika di Lembah Rift Afrika Timur.

Ia adalah satu daripada tiga tasik gunung berapi yang terkenal di dunia kerana mengandungi kepekatan karbon dioksida dan metana yang tinggi. Letusan Nyiragongo yang bergabung dengan kepekatan asid tasik Kivu mampu menyebarkan awan maut di seluruh bandar tanpa meninggalkan walaupun satu nyawa.

Selepas seharian mendaki, Sims dan Tedesco sampai di puncak gunung dengan keadaan angin yang menderu. Kumpulan porter membina khemah, menyusun peralatan mendaki, peralatan saintifik, menyediakan makanan dan minuman.

Mulut gunung berapi Nyiragongo dapat dilihat dengan jelas dari kawasan perkhemahan. Dinding kawah yang rapuh mengelilingi lava yang separuhnya terkeluar daripada mulut kawah dan jatuh ke atas lapisan lava yang mengeras, luas, rata dan berwarna hitam.

Umpama mangkuk sup gergasi dan berbentuk bulat, ia adalah pemandangan yang menakjubkan kerana tasik lava ini muncul di tengah-tengah kawah.

Tasik ini berukuran 213.36 meter, salah satu tasik terbesar di dunia dengan permukaan kaleidoskop yang memukau. Blok hitam dipisahkan pecahan kerikil tajam berwarna oren, bersilih ganti dan keruh.

Pada satu ketika, kerak itu berbentuk umpama kaca berkecai kemudian ia bercantum seperti gambar susun suai dan berubah menjadi peta dunia.

Bunyi kuat datang dari tasik seperti jet yang tidak sabar berlepas dan memancarkan kepulan putih yang menebal bersama puluhan gas maut.

“Seluruh unsur pa­da jadual berkala dilahirkan di sana,” kata Sims.

Dari kawasan perkhemahan, saintis dapat merasakan haba panas itu. Hampir 982.3 darjah Celsius lava meletup dari tengah-tengah tasik pada setiap minit yang menyaksikan julangan tinggi antara 7.62 meter hingga 30.48 meter lalu membentuk batuan keras yang berubah daripada oren ke warna hitam apabila terdedah kepada udara.

“Di sana,” katanya selepas lama mendiamkan diri sambil menunjuk ke tasik.

“Ini membuatkan saya bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sampel,” katanya. - NG

INFO:
  • Gunung berapi Nyiragongo terletak di kawasan Taman Negara Virunga di Republik Demokratik Congo.
  • Kawah utamanya berkeluasan dua kilometer persegi.
  • Kedalaman tasik lava adalah berbeza bergantung pada aktiviti gunung berapi. Maksimum kedalaman tasik lava kira-kira 3,250 meter dan sebelum letusan 1977, kedalaman tasik pada 600 meter.
  • Sejak 1882, ia meletus hampir 32 kali.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon