Thursday, February 14, 2013

China Didakwa Pembekal Utama Dadah Kepada Atlet


China didakwa menjadi lokasi utama mendapatkan bahan terlarang meningkatkan prestasi atlet, dakwa Presiden Agensi Anti Doping Sedunia (WADA), John Fahey.

Gambar hiasan

Komennya dibuat selepas Ketua Pengarah WADA, David Howman dalam satu temuramah di sebuah hotel di London, kelmarin berkata, 99 peratus bahan terlarang itu diperoleh dari China.

Howman menambah, individu sama juga terbabit dengan kes mengatur perlawanan dan membekalkan dadah terlarang kerana ia membabitkan sejumlah besar wang dalam setiap kes itu.

Fahey berkata, usaha membendung perkara itu kini dilakukan bersama pihak berkuasa China tapi ia memerlukan usaha yang lebih lagi.

“Sudah beberapa kali kami kemukakan perkara ini kepada CHINADA (Agensi Anti Doping China),” kata Fahey.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Sukan China dan saya dimaklumkan, beberapa tindakan sudah diambil.

“Kami harap dapat menjalinkan kerjasama dengan mereka dan kami sedar banyak pembekal sudah menutup operasi hasil usaha sebelum ini.

“Namun kami tahu sumber bekalan utama mendapatkan bahan terlarang masih beroperasi.” Fungsi WADA dipersoal UNI Sport PRO, satu kumpulan yang berada di bawah persatuan sukan kebangsaan dan antarabangsa yang mengecam pengendalian kes membabitkan Lance Armstrong.

Pelumba basikal Amerika Syarikat itu yang mengaku menggunakan bahan terlarang, digantung seumur hidup dan tujuh kejuaraan Jelajah Perancis yang diraihnya dibatalkan serta merta selepas disiasat Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA).

Minggu lalu, Suruhanjaya Jenayah Australia melaporkan, penggunaan produk terlarang adalah sesuatu yang biasa dalam pelbagai disiplin sukan sekali gus mencetuskan kejutan di seluruh Australia, negara yang begitu mengutamakan sukan.

“Amat mengecewakan, Agensi Anti Doping Sedunia dan pihak berkepentingan gagal merealisasi misi mereka melahirkan atlet yang bersih daripada penggunaan bahan terlarang,” ulas UNI Sport PRO.

-AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon