Wednesday, February 13, 2013

Benarkah Ronaldo Seorang Kaki Buli?


Gary Neville mengakui amat bangga diberi peluang beraksi bersama Cristiano Ronaldo. Bekas pemain England itu bermain seiringan dengan Ronaldo ketika pemain bintang dari Portugal itu bersama Manchester United untuk enam musim.


“Penyokong Real Madrid sungguh luar biasa. Real Madrid menghabiskan sejumlah £80 juta (RM390 juta) untuk Ronaldo tapi pengorbanan itu setimpal dengan kejayaan Ronaldo menjaringkan gol.

“Dia sehebat Messi dan anda boleh meletakkan kedua-duanya setaraf dengan Pele dan Maradona.

“Bukannya terlalu emosi tetapi saya rasa begitu bangga dapat bermain dengannya,” kata Neville.

Bekas pemain pertahanan Manchester United itu turut mengakui Ronaldo sering menumpukan pada kelemahan lawan untuk meraih peluang yang ada.

Bintang Portugal itu akan menentang bekas kelabnya, United pada pertemuan dengan Real Madrid pada perlawanan Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Lantaran itu, Neville optimis bekas rakan seangkatannya itu akan mencari kelemahan yang ada pada United untuk mendominasi perlawanan di Bernabeu.

“Hakikatnya, Ronaldo adalah seorang pembuli. Dia akan membuli pemain pertahan yang dilihatnya lemah dan saya sering lihat dia menggunakan taktik itu dalam setiap perlawanan.

“Dia melakukan perkara sama ketika menentang Maicon di Manchester City.

Dia akan bermain di posisi sayap kiri. “Jika dia gagal mendapatkan bola maka dia akan bermain di bahagian serangan, tengah ataupun sayap kanan,” katanya.

Neville bergandingan dengan Ronaldo sepanjang enam musim penyerang ternama itu berada di Old Trafford.

Dia mengakui, penampilan bekas pemain Sporting Lisbon itu membuatkan persepsinya dalam permainan bola sepak berubah.

“ Namun, saya secara tiba-tiba tidak mempunyai rakan segandingan di bahagian serangan yang kemudian akan membantu di bahagian sayap kiri.

“Pada awalnya, dia sering dibiarkan saja di padang. Dia kemudian diarahkan Alex Ferguson bermain di bahagian kanan sebelum berakhir di kiri.

“Pada penghujung kerjayanya bersama Manchester United, Ronaldo lebih bebas.

“Dia menentukan sendiri posisinya di padang berdasarkan ruang yang ada dan pemantauan siapa lawan yang lemah. Dia membuat anda berfikir tidak perlu berada di tahap fizikal yang bagus. “Kami mempunyai pemain hebat yang tahapnya di luar jangkaan, yang belum pernah saya lihat sebelum ini.

Dia akan bermain dan akan membawa kemenangan demi kemenangan. Saya rasa, itu lebih penting,” katanya.

Ronaldo banyak berubah daripada seorang remaja yang bertubuh kurus dan menampilkan permainan kurang konsisten biarpun menarik perhatian pada tahun pertamanya di United.

Neville begitupun mengakui Ronaldo semakin hebat sejak berpindah semula ke Madrid.

“Dia kini berubah sepenuhnya, semakin hebat. “Saya tidak boleh fikirkan mana-mana pemain lain di United yang mengharumkan Old Trafford seperti dilakukan Ronaldo untuk dua musim.

“Dia berterusan menyumbang kemenangan buat pasukan. Prestasi yang sungguh di luar jangkaan dengan jaringan gol yang banyak.

“Namun, kini dia lebih hebat. Saya baru saja melihatnya beraksi minggu lalu.

Dia menyambut bola dari posisi yang mustahil untuk lakukan sesuatu seperti itu.

Dengan aksi memukau seperti itu, pastinya tiada pemain lain yang mampu menewaskannya,” katanya.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon