Wednesday, February 06, 2013

Aplikasi ‘Make Me Asian’ Google Dituduh Rasis


Google menarik balik aplikasi ‘Make Me Asian’, iaitu aplikasi telefon pintar yang membolehkan pengguna menukar rupa paras mereka kepada orang Asia.


Ia rentetan daripada kemarahan aktivis Asia Amerika yang menyifatkan permainan itu sebagai suatu stereotaip penghinaan.

Sehingga Khamis, aplikasi ‘Make Me Asian’ dan aplikasi sama seperti ‘Make Me Fat’ dan ‘Make Me (American) Indian’ tidak lagi boleh diperoleh melalui enjin carian aplikasi permainan internet, Google Play.


‘Make Me Asian’ menerima kritikan kerana membolehkan pengguna berubah menyerupai warga China, Jepun, Korea atau sebarang warga Asia lain.

Pengguna boleh meletakkan ciri tambahan terhadap wajah seseorang, seperti topi atau misai Fu Manchu.

Hampir 8,500 pengguna memeterai petisyen dalam satu usaha sosial, change.org dengan menggesa Google mengeluarkan aplikasi itu.

Ia dibuat selepas blog, Angry Asian Man, pada November lalu menggiatkan usaha menentang perkara itu, sambil menyifatkannya sebagai ‘amat rasis’.

Peter Chin, Paderi Washington yang melancarkan petisyen itu, berkata beliau bimbang tindakan stereotaip penghinaan kepada warga Asia Amerika akan berleluasa jika boleh didapati menggunakan Google Play.

“Saya tidak selesa apabila ia menjadi satu perkara biasa. Ia mungkin, pada pandangan saya, membawa kita ke belakang terutama bagi komuniti Asia Amerika,” katanya kepada AFP.

Aktivis Asia Amerika sering merungut apabila komuniti itu digambarkan sebagai orang luar, walaupun warisan masyarakat Asia yang tinggal di Amerika Syarikat sudah banyak generasi.

Google bagaimanapun tidak memberikan maklum balas ketika diminta.

Chin berkata, Google hanya menawarkan maklum balas automatik terhadap kebimbangan yang disuarakan dan tidak menyatakan kepadanya bahawa ia akan mengeluarkan aplikasi itu.

-AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon