Friday, January 04, 2013

Pengguna Windows Phone Di Sekat Akses YouTube


Microsoft semalam meningkatkan kritikannya terhadap Google, mendakwa syarikat gergasi Internet itu gagal membenarkan pengguna sistem Windows Phone mengakses sepenuhnya YouTube.


Peguam Microsoft, Dave Heiner berkata, meskipun ada pengawalan kerajaan, Google terus menyekat Microsoft daripada menawarkan khidmat melayari YouTube kepada pelanggannya dengan baik.

"Ini adalah satu isu penting kerana pengguna sangat mahukan akses YouTube melalui telefon mereka.

"Google sering menyatakan kesalahan antipersaingan yang didakwa ke atasnya tidak mengganggu pengguna, tetapi mereka silap kerana dalam kes ini syarikat itu telah menafikan hak pengguna menggunakan platform pesaing untuk melayari laman tersebut," katanya yang disiarkan dalam blog.

Kenyataan itu merupakan perselisihan terbaharu antara dua syarikat Internet tersebut ketika pemantau antipersaingan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) berusaha menamatkan siasatan ke atas Google.

Beberapa laporan menyatakan, penyiasat AS sedang bersiap sedia menyiapkan perjanjian secara sukarela daripada Google tanpa penglibatan mahkamah.

Sementara itu, Google yang memiliki YouTube berkata, Microsoft telah memutarbelit fakta berhubung akses laman perkongsian video itu melalui telefon bimbit.

"Berbeza dengan dakwaan Microsoft, pengguna boleh mengakses YouTube menerusi sistem Windows Phone dengan mudah.

"Malah, kita juga sejak beberapa tahun lalu bekerjasama dengan Microsoft bagi memastikan pengguna dapat menikmati pengalaman mengakses YouTube dengan Windows Phone," kata seorang jurucakap Google.

-AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon