Monday, January 28, 2013

Manchester United Kempunan Piala FA Sejak 2004


Alex Ferguson berazam mahu membawa pulang Piala FA untuk kali ke-11 buat Manchester United pada penghujung musim ini.

Nani kembali diturunkan United dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang 
Fulham kelmarin selepas lama direhatkan. Pemain itu berjaya membantu United menang 4-1.

United merupakan antara pasukan terbanyak memenangi trofi tersebut dalam sejarah kejohanan, namun kali terakhir mereka berjaya mendakap Piala FA adalah pada tahun 2004.

Ini bermakna hanya Ryan Giggs, Paul Scholes dan Darren Fletcher berada dalam kesebelasan utama United berjaya merasai nikmat memenangi trofi tersebut ketika ini.

Paling membanggakan, Giggs menjaringkan gol pembukaan United ketika mereka mudah mengatasi cabaran Fulham 4-1 dalam pusingan keempat Piala FA kelmarin.

"Saya percaya pemain-pemain United akan meneruskan momentum kemenangan ini hingga ke perlawanan akhir.

"Saya berharap tahun inilah peluang mendapatkannya. Sesetengah daripada mereka (pemain) beraksi cemerlang hari ini," jelas Ferguson.

Tambah beliau, ini merupakan salah satu persembahan terbaik mereka musim ini selepas menurunkan pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Giggs menyempurnakan sepakan penalti pada minit kedua perlawanan untuk gol pertama United, diikuti gol Wayne Rooney sebelum Javier Hernandez menambah dua lagi gol untuk United selesa mendahului 4-0.

Bagaimanapun, Aaron Hughes berjaya 'mencuri' satu gol untuk Fulham.

"Piala FA sangat bermakna. Kali terakhir kami memenanginya sembilan tahun lalu. Ramai pemain masih belum merasai nikmat mendakap trofi ini.

"Kami harap tahun ini ia menjadi kenyataan," kata Giggs.

Persembahan menakjubkan Hernandez dan Rooney turut menggembirakan Ferguson.

Beliau menyifatkan kuartet Rooney, Hernandez, Danny Welbeck dan Robin van Persie pasti digeruni sama seperti gandingan pemenang tiga piala pada 1999 - Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solskjaer dan Teddy Sheringham. - AFP

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon