Saturday, January 19, 2013

Awas Bahaya Pendakap Gigi Yang Di Beli Secara Online


Orang ramai diminta agar tidak membeli pendakap gigi menerusi Internet atau secara dalam talian, yang tidak diiktiraf pakar pergigian, kerana dipercayai mengandungi plumbum dan membahayakan pengguna.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata berdasarkan maklumat awal, pendakap gigi yang dijual secara online diperbuat daripada plumbum dan boleh menyebabkan kanser usus.


“Kita dapati pendakap gigi kini semakin popular, terutama di kalangan remaja, sebenarnya ia bukan berfungsi untuk mencantikkan gigi tetapi lebih kepada fesyen atau trend golongan muda masa kini.

“Sehubungan itu, saya berharap mereka yang ingin mencantikkan gigi supaya mendapatkan nasihat doktor dan menggunakan pendakap gigi yang diiktiraf oleh pakar pergigian terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas Bentong sempena Hari Warga Emas Peringkat Daerah Bentong pada Sabtru.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang Datuk Hoh Khai Mun.

Liow juga berkata kerajaan boleh menyekat atau mengawal penjualan pendakap gigi berkenaan di pasaran namun tidak boleh mengawal pembelian yang dibuat melalui Internet atau secara online.

Dalam perkembangan lain, Anggota Parlimen Bentong itu berkata Kementerian Kesihatan sedang mengkaji untuk mengurangkan kandungan tar dan nikotin dalam rokok untuk pasaran di Malaysia.

“Kandungan tar daripada 20 miligram (mg) sekarang dicadangkan kepada 10mg dan nikotin daripada 1.5mg kepada 1mg,” katanya.

Liow berkata kandungan tar dan nikotin dalam rokok yang dijual di negara ini antara yang tertinggi berbanding negara lain.

–BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon