Monday, January 07, 2013

Akhirnya Nama Mangsa Rogol India Didedahkan


Selepas hampir sebulan kes rogol membabitkan seorang pelajar perubatan di India berlaku, akhirnya nama mangsa didedahkan.


Dia dikenali sebagai Jyoti.

Bapanya, Badri Singh Pandey, telah memberikan kebenaran agar nama mangsa, yang meninggal dunia di sebuah hospital pakar di Singapura itu, didedahkan bagi tujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat agar perkara seperti itu tidak berulang lagi.

Ini merupakan kali pertama namanya didedahkan selepas pihak berkuasa sebelum ini memutuskan untuk merahsiakan nama mangsa.

Menurut Singh Pandey, yang menetap di perkampungan Billia di Uttar Pradesh, keluarganya kini sedang berkabung dan amat bersedih dengan kematian tragis anak perempuan mereka itu.

“Dengan mendedahkan namanya, ia akan memberikan kekuatan kepada mereka yang pernah melalui pengalaman dirogol,’’ katanya.

Singh Pandey bagaimanapun tidak mahu melihat muka enam suspek kes berkenaan yang kini sedang menjalani perbicaraan di mahkamah New Delhi.

Apa yang penting dan diingininya ialah mereka dihukum mati, atas tindakan tidak bertamadun yang dilakukan ke atas anaknya itu.

Menceritakan detik akhir anaknya itu, Singh Pandey berkata, selepas kejadian tragis itu, Jyoti yang cedera parah, tetap kuat semangat untuk meneruskan kehidupan.

Jelasnya, Jyoti tidak mampu bercakap kerana mulutnya dimasukkan tiup dan mereka hanya berkomunikasi melalui nota.

“Dia ada menulis di atas kertas bahawa dia ingin terus hidup dan menjalani kehidupan seterusnya dengan kami.

“Namun takdir mengatasi segalanya,’’ katanya.

Jyoti meninggal dunia di hospital di Singapura, 13 hari selepas bergelut dengan kecederaan parah yang dialaminya kesan serangan seksual berkenaan.

Ia juga menyaksikan ususnya terpaksa dibuang dan mengalami beberapa serangan jantung sebelum dipindahkan dari hospital di India ke Singapura.

Sumber: mynewshub.cc

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon