Tuesday, January 29, 2013

Adakah William Sebenarnya Mati Didera?


Negara dikejutkan dengan penemuan mayat William Yau Zhen Zhong, 6, yang jasadnya ditemui terapung di jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 24 Januari lalu.


Hari ini, pihak polis mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui itu memang sah William selepas menerima laporan awal ujian ‘deoxyribunucleic acid’ (DNA) oleh Jabatan Kimia.

Ia bertepatan dengan sampel DNA yang diberikan oleh ibu bapa William sendiri, Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32.

Maka, secara rasminya William Yau sudah ditemui walaupun hanya jasadnya sahaja selepas dia dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights.

William dipercayai hilang dan tidak dapat dikesan selepas keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik. Itulah versi yang kita semua faham setakat ini.

Walaupun mayat William sudah ditemui….namun ia bukan penghujung kepada kisah malang kanak-kanak itu.

Sebaliknya, penemuan mayat William membawa semakin banyak tanda tanya dan misteri kepada pihak polis dan masyarakat.

Malah, kes kematian anak kedua pasangan berbangsa Cina itu sepertinya membuka ‘episod’ baru dari sehari ke sehari.

Menurut laporan akhbar Kosmo hari ini, polis ada menerima laporan kemungkinan terdapatnya unsur penderaan terhadap mangsa.

Ini kerana, terdapat beberapa kesan lebam ditemui di anggota badan William.

Justeru, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ibu bapa William akan dipanggil semula untuk memberi keterangan terhadap laporan dera yang diterima.

“Bagaimanapun, ia akan dilakukan selepas kita menerima keputusan penuh bedah siasat dan ujian DNA ke atas mayat kanak-kanak yang dipercayai William itu. DNA biasanya akan diperoleh dalam tempoh 72 jam hari bekerja,” kata Yahaya.

Sementara itu, dalam laporan berita akhbar The Star, satu lagi tanda misteri ‘muncul’ berhubung kematian William.

Pihak polis ketika ini sedang meneliti semula kesemua bukti yang ada termasuk kenyataan bercanggah dari keluarga mangsa dan saksi.

Setiap kenyataan yang diberikan kepada pihak polis amat berbeza antara ibu bapa dan abang kepada William.

Antara kenyataan yang bercanggah datangnya dari bapa William sendiri di mana, pada hari William dilaporkan hilang, Kok Kang hanya menyedari kehilangan William selepas jangka masa 15 minit memandu kereta?

Bukan itu sahaja, persoalan lain yang timbul adalah mengapakah abang William tidak memberitahu kepada ibu bapanya akan kehilangan William?

Percanggahan kenyataan antara keluarga dan orang-orang yang rapat dengan William menjadikan kes itu mungkin berubah dari kematian mengejut kepada pembunuhan.

Ia bertepatan dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zini bahawa kes William yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tidak bermakna bahawa polis tidak akan menyiasat kemungkinan lain termasuk pembunuhan.

“Kita masih akan menjalankan siasatan untuk mengetahui sama ada kanak-kanak lelaki itu dibunuh atau mati kerana kemalangan.

“Kami sedang menjejaki semula semua penemuan kami dengan teliti sepanjang siasatan,” katanya.

Nyata, pada peringkat ini, kes melibatkan William semakin kusut dan semakin misteri.

Persoalannya…apakah yang berlaku adalah kemalangan atau jenayah berat?

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon