Saturday, December 29, 2012

Tentera Laut Iran Berlatih Persediaan Perang


Tentera laut Iran hari ini mengadakan latihan ketenteraan selama enam hari di Selat Hormuz, satu daripada laluan utama minyak dunia bagi mempamerkan keupayaan armada tentera negara itu, lapor agensi berita IRNA.


Komander Tentera Laut Iran, Habibollah Sayyari berkata, latihan 'Velayat 91' akan berlangsung sehingga Rabu depan di kawasan kira-kira satu juta kilometer persegi di Selat Hormuz, Teluk Oman dan sebahagian kawasan utara Lautan Hindi.

Katanya, latihan ketenteraan itu diadakan bagi menunjukkan kemampuan ketenteraan Iran dalam mempertahankan wilayahnya sekali gus menghantar mesej keamanan dan persahabatan kepada negara berjiran dengannya.

Pegawai Iran kerap mengulangi kenyataan akan menghalang penghantaran 40 peratus daripada eksport minyak dunia melalui selat itu sekiranya mereka diserang ekoran pertikaian program nuklear.

Iran turut mengadakan latihan yang sama selama 10 hari pada Disember tahun lalu dan menghantar sebuah kapal selam dan kapal pemusnah ke perairan Teluk, empat bulan selepas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mengadakan latihan ketenteraan di perairan sama bagi memastikan laluan perdagangan sentiasa terbuka.

Habibollah berkata pada Selasa lalu, latihan itu akan menguji kemampuan sistem peluru berpandu tentera laut, kapal tempur, kapal selam dan kaedah rondaan dan peninjauan.

Penghantaran armada tentera laut Barat yang besar di perairan Teluk dibuat bagi menghalang sebarang usaha menutup laluan berkenaan.

-REUTERS

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon