Tuesday, December 04, 2012

Surat dan Esei Napoleon Berharga RM744,612!


Sepucuk surat berusia 200 tahun hasil nukilan Napoleon Bonaparte yang berikrar akan memusnahkan Kremlin iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Rusia telah dilelong pada harga Euro 187,500 (RM744,612) Ahad sekaligus mencatatkan satu sejarah baru lelongan di negeri Perancis.


Manakala sebuah rencana juga tulisan Napolean berhubung isu kegagalan kempen menawan Rusia turut mencatatkan rekod lelongan Perancis.

Surat berkenaan yang disertakan dengan beberapa nombor kod dengan ditandatangani "Nap", antara lain menyebut: "Saya akan memusnahkan Kremlin pada jam tiga pagi pada hari ke-22 serangan kita ke atas Rusia."

Bertarikh 20 Oktober 1812, iaitu sehari selepas bala tentera Napoleon berundur dari bandar Moscow, surat berkenaan dialamatkan kepada Menteri Luar Perancis, Hugues-Bernard Maret.

Surat itu pada mulanya dijangkakan bakal terjual pada harga antara Euro 10,000 - 15,000 (AS$13,000 hingga AS$20,000) pada lelongan Fontainebleau, di selatan Paris.

Pada akhirnya arahan Napoleon itu sebagaimana yang terkandung di dalam suratnya telah dilaksanakan.

Bala tenteranya telah memusnahkan kedua-dua menara kembar Kremlin dan juga sebahagian besar bangunan pentadbiran kerajaan Rusia.

Sementara itu, satu lagi manuskrip iaitu esei yang ditulis oleh Napoleon ketika dia berada di dalam buangan di Pulau Saint Helena, telah mencatatkan rekod jualan Fontainebleau iaitu terjual pada harga Euro 375,000.

"Ia adalah satu rekod dunia untuk mana-mana manuskrip yang dihasilkan oleh Napoleon," kata institusi lelongan itu.

Esei tersebut adalah sepanjang lebih 300 halaman turut mengandungi 44 ilustrasi.

Dalam esei tersebut Napoleon mencatatkan yang kempen menawan Rusia oleh tenteranya itu tidak wajar disifatkan sebagai berundur kerana mereka telah mencapai begitu banyak kemenangan.

Kempen di Rusia itu kemudiannya telah dilihat sebagai punca kelemahan pengaruh tentera Perancis di benua Eropah.

Manuskrip itu telah diserahkan untuk lelongan oleh keturunan jeneral kepada Napoleon iaitu Henri Gatien Bertrand, yang pada akhirnya turut mengiringi bekas maharaja Perancis itu hidup dalam buangan di Saint Helena.

Bala tentera Napoleon telah memasuki Moscow pada 14 September 1812, tetapi ketika itu sebahagian besar penduduk telahpun mengosongkan bandar itu dan pasukan Perancis kemudiannya berhadapan dengan kebuluran dan musim sejuk yang berpanjangan yang akhirnya mendorong mereka untuk berundur.

-Mstar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon