Thursday, December 06, 2012

Polis Gemuk Jakarta Di Wajibkan Bersenam


Anggota polis di Jakarta yang berperut buncit diberi arahan untuk bersenam.


Untuk dua hari seminggu, mereka menukar baju seragam dengan pakaian bersenam dan mengenakan kasut sukan ketika beratur untuk melakukan aerobik, tekan tubi sebagai usaha mengurangkan berat badan.

Jurucakap Polis Jakarta, Kolonel Riwanto semalam berkata, mana-mana anggota yang mempunyai berat badan melebihi 100 kilogram, mesti mengikuti program mengurangkan berat badan kerana jumlah anggota polis gemuk semakin meningkat dan persepsi bahawa mereka tidak dapat menjaga keselamatan orang awam.

Katanya, tekanan kerja, cara hidup kurang aktif dan makanan ringan menyebabkan anggota polis di ibu negara ini semakin gemuk.

Kira-kira 400 anggota polis gemuk masuk program itu di mana pendaftaran dibuka minggu lalu. Mereka yang dianggap terlalu gemuk perlu menjalani senaman dua kali seminggu.

Rikwanto berkata, ada rancangan untuk meluaskan program ini di seluruh negara.

Pegawai polis tidak akan dihukum sekiranya tidak berjaya menurunkan berat badan tetapi mereka tidak dibenarkan ponteng sesi senaman itu. Mereka boleh melakukannya mengikut kadar kemampuan dan tidak perlu mengikut diet yang ketat.

Program serupa dimulakan bulan lalu oleh pasukan polis di Tangerang, bandar di luar Jakarta yang mempunyai 1,470 anggota.

Mereka mengupah jurulatih untuk membantu 132 anggota polis obes mengurangkan berat badan. Program itu turut melibatkan sekumpulan anggota kesihatan untuk membantu memantau masalah diet dan kesihatan.

Ketua Polis Tangerang, Kolonel Wahyu Widada yang turut hadir dalam sesi senaman semalam bersama beratus-ratus anggota polis lain berkata, anggota polis gemuk dan buncit tidak boleh diharap untuk menangkap penjenayah yang melarikan diri.

Katanya, program ini mensasarkan untuk menukar cara hidup yang tidak sihat.

Beberapa anggota polis berkata, mereka berjaya mengurangkan berat badan sebanyak dua kilogram selepas menyertai program itu sejak bulan lalu tetapi ada yang berkata mereka tidak nampak perubahannya.

“Saya malu dengan bentuk tubuh saya dan mereka terus memberi motivasi... Ia sukar tetapi saya perlu cuba,” kata Sarjan Sugiar yang mempunyai berat badan 130 kilogram dan ketinggian 175 sentimeter.

Katanya, buat masa ini masih belum ada perubahan.

-Jakarta Post

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon