Thursday, December 06, 2012

Jimmy Shanley Dakwa Di Halang Lawat Anak!


Pengacara, Jimmy Shanley mendakwa dia diharamkan oleh bekas bapa mertuanya daripada datang ke rumahnya sejak Julai tahun lalu, tindakan yang menghalang dia daripada bertemu dengan anaknya.


Jimmy berkata, ekoran tindakan itu dia tidak dapat melawat anak tunggalnya, yang kini berusia 18 bulan, di rumah bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.

"Saya tidak melawat anak saya kerana bekas bapa mertua marah dan halang saya ke rumah mereka.

"Selain itu, bekas isteri juga ada meletakan beberapa syarat untuk saya berjumpa anak saya," katanya.

Jimmy berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) yang difailkan oleh Nursuhaila Eliani di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.

Jimmy, 32, bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa bekas ibu mertuanya ada membawa anaknya Zahra Shanley ke rumahnya sekiranya bekas bapa mertuanya tiada di rumah.

"Anak saya tinggal di rumah bekas isteri dan saya tidak selesa kalau bekas ibu mertua hendak bermalam di rumah saya," katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu pada April lalu apabila bekas ibu mertua membawa Zahra ke rumahnya.

Ketika ditanya Saadiah Din mewakili Nursuhaila Eliani, berhubung pelawaan yang dibuat oleh anak guamnya supaya datang ke rumah wanita berkenaan untuk melawat anak.

Jimmy berkata, Nursuhaila Eliani pernah mempelawanya pada 10 Oktober lalu, tetapi dia tidak melayan jemputan tersebut.

"Saya tidak menerima pelawaan itu sebab Nursuhaila Eliani selalu mungkir janji, sebab itu saya lebih selesa tunggu arahan daripada mahkamah," katanya.

Dalam prosiding itu, Jimmy berkata, dia ada melawat bekas isterinya sepanjang wanita berkenaan mengandung.

"Tiga kali saya melawat Nursuhaila Eliani. Kali pertama pada jam 7.30 pagi ketika itu dia masih tidur.

"Kali kedua saya jumpa Nursuhaila Eliani sewaktu kenduri saudaranya dan ketika bekas isterinya hendak mengerjakan umrah," katanya.

Jimmy diwakili peguam Mohd Noor Aizan Md Idrus.

Pasangan itu bernikah pada 1 Oktober 2010 dengan mas kahwin sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.

Isu hak penjagaan anak perempuan tunggal pasangan kontroversi itu, Zahra Shanley timbul apabila Nursuhaila mengemukakan tuntutan hadanah di mahkamah, namun kelayakannya dalam tuntutan itu dipertikaikan Jimmy.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebelum ini untuk mula bicara, namun tidak dapat diteruskan berikutan timbul perkembangan terbaru Nursuhaila yang bercadang supaya hak penjagaan itu diberi sama rata dengan cara giliran setiap minggu.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man bersambung 29 Januari depan.

-Sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon