Tuesday, December 11, 2012

Bunuh Ibu Sendiri Nama Di Gugur Dalam Wasiat


Selepas namanya disingkir daripada wasiat keluarga, Ari Liggett, 24 langsung tidak berfikir panjang dan tergamak meracun ibunya, Beverly Liggett, 56, kemudian mencincang tubuh wanita berkenaan tanpa belas kasihan.


Dalam kejadian yang berlaku pada 17 Oktober itu, Liggett meracun ibunya itu di kediaman mereka yang terletak di Centennial, Colorado, Amerika Syarikat dan meninggalkan mayat mangsa di dalam sebuah kereta Honda CRV. Liggett ditahan polis ketika memandu kereta berkenaan tidak lama selepas melakukan pembunuhan, dengan mayat mangsa masih lagi di dalam kenderaan itu.

Ketika disoal siasat polis, Liggett mengaku melakukan pembunuhan itu kerana bengang dengan tindakan ibunya yang menyisihkan namanya daripada wasiat keluarga mereka. Berdasarkan rekod polis, Liggett pernah ditangkap pada 2010 selepas didapati cuba menyeludup bahan kimia dengan campuran yang berbahaya ke kediaman ibunya itu. Pada ketika itu suspek turut mengugut untuk membunuh ibu dan adiknya. Berikutan itu, Ligget dihantar keluarganya ke pusat perlindungan selain namanya disenaraikan dalam rekod pemerhatian Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kerana kebolehannya membancuh campuran kimia berbahaya boleh mengancam nyawa orang lain.

Bagi kes pembunuhan ini, polis menemui bahan kimia dan racun jenis kalium sianida, sejenis cecair yang dikenal pasti pembunuh yang sangat pantas, di kediaman keluarga mangsa. Pegawai penguasa, Sheriff Grayson Robinson, berkata racun itu cukup efektif dan sangat berbahaya. Ia dikenali sebagai racun pembunuh yang sangat pantas memberi kesannya terhadap mangsa.

“Kami tidak sangka kes wanita yang dilaporkan hilang, bertukar kepada kes pembunuhan yang kompleks membabitkan seorang anak dan ibu,” katanya.

Di sebalik pembunuhan itu, Ligget bagaimanapun disahkan mengidap gangguan mental. Suspek dilaporkan mengalami gangguan bipolar (masalah mental) dan sindrom Asperger (masalah bersosial).

Sementara itu, bapa Liggett, Ron berkata dia mengetahui anaknya itu bermasalah tetapi tidak menyangka dia sanggup membunuh ibunya sendiri yang juga bekas isterinya. “Kamu tidak dapat membayangkannya, ia saat yang sangat sukar,” katanya. Teman Beverly, Seth Masia, turut terkilan dengan tragedi yang menimpa kekasihnya itu. “Ia kejadian yang sungguh tragik. Kami merancang untuk hidup bersama. Kami sepatutnya hidup dengan baik, dia (mangsa) berhak untuk mendapat kehidupan yang lebih cerah,” katanya. Ligget didakwa di mahkamah dengan pembunuhan kelas pertama dan kini dalam tahanan polis. Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Selepas pendakwaan dilakukan pada 21 November lalu, perbicaraan ditangguh sehingga sesi seterusnya pada 19 Disember nanti.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon