Thursday, December 06, 2012

Apa Yang Akan Berlaku Pada 12.12.12


Namanya mula dikenali setelah menjadi juara sulung pertandingan realiti One In A Million (OIAM), ternyata pilihan gadis ini untuk terus terjun ke dalam dunia nyanyian seawal usia 17 tahun berjaya meletakkan dia sebaris dengan beberapa nama besar lain.


Bagaimanapun pada suatu ketika dia seperti hilang dari industri nyanyian negara ini, rupa-rupanya ada perancangan besar yang sudahpun dimulakan gadis ini apabila namanya kini kian dikenali peminat muzik dari Hong Kong dan Taiwan.

Namun tahun 2012 bukan sahaja meledakkan semula nama Low Sook Yee atau Suki Low di negara sendiri tetapi juga bakal menjadi saksi penyatuan gadis ini dengan jejaka pilihan hatinya.

Memilih tarikh yang begitu istimewa Suki memberitahu, majlis perkahwinannya akan berlangsung sehari selepas dia menyambut hari jadinya yang ke-23.

"Saya akan mendirikan rumah tangga pada tanggal 12 Disember ini, iaitu sehari selepas sambutan hari lahir saya.

"Jejaka yang sudah saya kenali selama empat tahun, Jeremy Chong bakal memikul tanggungjawab sebagai suami saya," katanya tersenyum.

Walaupun ada yang beranggapan gadis ini masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab seorang isteri, ada jawapan yang ingin diberikan Suki bagi membuktikan dia kini sebenarnya sudah bersedia.

"Saya sudah lama dengan Jeremy malah sehingga ke mana-mana juga saya akan ditemani dia. Adalah lebih baik sebenarnya kami mempunyai ikatan yang sah kerana pada masa yang sama keluarga saya juga lebih lega untuk melepaskan saya dengan suami sendiri.

"Jika dibandingkan umur mungkin saya muda namun setelah enam tahun bergelar anak seni ada sisi kematangan dalam diri saya yang membezakan saya dengan mereka di luar sana," katanya.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia menerima tempias perkahwinan dengan penurunan popularitinya kelak menurut Suki, dia percaya peminat kini cukup bijak untuk membezakan bakat dan hak peribadi seorang artis.

"Saya yakin keadaan kini peminat kita lebih bijak untuk tidak hanya memilih kisah peribadi berbanding bakat yang dimiliki.

"Pada ketika ini saya sering menjadikan penyanyi Adele sebagai idola saya, seperti yang kita tahu suara yang dimiliki penyanyi ini mampu menutup kekurangan yang dimiliki dirinya," katanya tegas.

-Utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon