Friday, November 23, 2012

Ular Sawa Jadi Teman Bersiar-siar Datin Karen


Ular adalah antara haiwan reptilia yang menggelikan bagi sesetengah pihak. Tubuhnya yang lembik dan sifat ular yang menjalar itu menyebabkan ramai takut dengan haiwan tersebut.

Teman setia Datin Karen

Ular sawa walaupun tidak berbisa, keupayaannya untuk membelit sehingga menyebabkan yang dibelit itu kehilangan nyawa, turut menakutkan.

Katalah apa-apa sahaja, bagi Datin Karen Rahman, 40, ular sawa ialah haiwan peliharaannya yang amat disayangi.

Diberi nama Solo, ular sawa rona hitam coklat keemasan ini sangat disayangi dan diberi perhatian bagaikan menatang minyak yang penuh.

Membela ular sawa mula menjadi hobi Karen apabila beliau terlihat seorang wanita bersiar-siar sambil membawa ular sawa di tangan. Justeru timbul keinginan memiliki ular sawa sendiri.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, beliau berpeluang memiliki ular sawa apabila seorang teman menjual ular tersebut kepadanya kerana hendak berpindah ke Sabah lapan tahun lalu.

“Ular sawa jantan ini saya berikan nama Solo kerana ia tiada pasangan. Hidupnya solo. Jadi sesuailah nama itu untuknya. Saya jaga ular sawa ini dengan rapi. Akhirnya, membela ular sawa menjadi hobi saya pada usia sekarang,” katanya mengenai Solo yang bercorak batik ini.

Umum mengetahui tikus sememangnya menjadi makanan ular. Justeru, Karen ‘menyajikan’ tikus sebagai makanan untuk ular sawa peliharaannya. Ular bukannya diberi makan setiap hari seperti mana haiwan peliharaan lain.

Seseorang yang ingin membela ular hendaklah tahu ‘gaya hidup’ ular itu sendiri. Menurut Karen, seseorang itu perlu tahu waktu ular akan bersalin kulit. Keadaan ular pada ketika itu lemah dan tubuhnya sakit. Selepas ular bersalin kulit, haiwan itu akan lapar dan akan makan untuk kelangsungan hidupnya.

“Solo akan bertukar kulit sebulan sekali. Saya tahu Solo akan bertukar kulit apabila warna tubuhnya bertukar. Apabila kulitnya tanggal, biasanya keadaannya agak lemah. Ketika ini Solo akan lapar dan saya akan memberinya makan.

Selalunya saya akan berikan tiga ekor tikus kepada Solo. Andainya Solo masih lapar, saya akan tambah seekor lagi tikus untuknya. Seekor tikus dibeli pada harga RM6 di Great Eastern Mall,” ujar Karen tentang ular sawa kesayangannya ini.

-Berita-saya.blogspot.com

2 comments

  1. That is my friend's mom. Kawan tu pun hot jugak...

    ReplyDelete
  2. Kirim salam ngan kawan awak tu ye.. ;)

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon