Sunday, November 25, 2012

Tiada Lagi Belas Kasihan Kepada Perogol!


Mereka yang didapati bersalah merogol gadis di bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara mandatori tidak lagi boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman selepas Seksyen 376 Kanun Keseksaan dipinda kelak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pindaan itu juga bakal menyaksikan individu yang disabitkan kesalahan merogol gadis di bawah umur akan dijatuhi hukuman penjara mandatori.

“Pindaan seksyen ini dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang. Ia supaya tidak diberikan budi bicara kepada hakim untuk memberi hukuman ringan kepada pesalah melainkan mesti mengenakan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun bagi kes hubungan jenis dengan wanita di bawah umur 16 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perasmian Program “Kepimpinan Berkesan” anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Padang Rengas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, pindaan itu perlu bagi melindungi gadis bawah umur daripada terdedah kepada jenayah rogol

Jelas beliau, sebanyak 6,000 kes hubungan jenis melibatkan wanita di bawah umur direkodkan dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2007.

Media pada 6 November lalu melaporkan kerajaan tetap dengan keputusan mahu meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi melindungi remaja perempuan di bawah umur 16 tahun daripada menjadi mangsa rogol sama ada secara sukarela atau pun tidak.

Kerajaan perlu meminda seksyen tersebut untuk memastikan keselamatan remaja perempuan khususnya di bawah umur 16 tahun terjamin, walaupun ada pihak yang meminta dipertimbangkan semula.

Pindaan tersebut bagi menghalang penggunaan Seksyen 294 Kanun Keseksaan yang memberi kuasa kepada hakim meringankan hukuman penjara mandatori ke atas tertuduh.

-Mynewshub.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon