Thursday, November 15, 2012

Rud Gullit Perlekeh Kemampuan Fernando Torres


Bekas pengurus Chelsea, Ruud Gullit meramal karier penyerang Sepanyol, Fernando Torres di Stamford Bridge akan berakhir.


Gullit, 50, menyuarakan pendapat itu selepas Torres sekadar menjaringkan empat gol meskipun diletakkan dalam kesebelasan utama dalam semua aksi Liga Perdana England tahun ini.

Bekas pemain Belanda itu turut mendesak pemilik skuad The Blues, Roman Abramovich supaya memburu penyerang prolifik bagi menggantikan Torres sekiranya berhasrat untuk merangkul lebih banyak kejuaraan musim ini.

"Mereka (Chelsea) telah memberikan Torres peluang tetapi adakah dia berjaya memanfaatkan semua peluang itu? Saya tidak tahu.

"Tidak dapat dinafikan bahawa Torres memiliki sejarah yang hebat ketika bersama Liverpool dan Atletico Madrid tetapi kini, dia dilihat tidak mampu untuk mengulangi prestasi cemerlang itu.

"Ia seperti satu misteri dan saya juga tidak tahu serta memahami apa sebenarnya yang berlaku kepada Torres.

"Jika aksi hambar Torres masih berterusan, Chelsea harus melakukan sesuatu," kata pengendali kelahiran Belanda itu.

Dalam masa yang sama, Gullit turut menjangkakan bahawa skuad The Blues juga tidak berpeluang untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara.

Ketika ini, peluang Chelsea semakin tipis selepas sekadar menduduki tangga kedua dalam Kumpulan E di belakang kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk.

"Saya tidak fikir Chelsea mampu melakukannya. Mereka perlu menentang Juventus di gelanggang lawan dan saya akui agak terkejut apabila mereka muncul sebagai juara Eropah pada musim lalu.

"Meskipun Chelsea cuba menukar corak permainan tetapi mereka masih perlu bekerja keras sekiranya berhasrat untuk mengekalkan kejuaraan Eropah musim ini," ujarnya.

-Agensi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon