Tuesday, November 20, 2012

Pengganas Yahudi Sengaja Membunuh Kanak-kanak dan Wanita


Satu lagi pembunuhan beramai-ramai membabitkan nyawa kanak-kanak Palestin di Gaza gagal mengubah pandangan dunia ketika Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat lain meneruskan serangan ganas pada hari kelima berturut-turut, semalam.


Serangan melalui udara dan laut itu membunuh 23 penduduk Palestin, termasuk 14 wanita dan kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan Hamas berkata, insiden itu mencatat kematian paling tinggi sejak kempen ketenteraan Israel ke atas Gaza dilancarkan.

Sembilan kanak-kanak lima daripadanya bayi dan budak serta lima wanita adalah mangsa terbaru keganasan rejim Zionis, menjadikan jumlah korban menjadi 69 orang hanya dalam tempoh kira-kira 100 jam serangan udara Israel. Serangan udara Zionis itu meranapkan sebuah bangunan dua tingkat milik sebuah keluarga.

Pegawai kesihatan berkata, empat wanita dan lima kanak-kanak - termasuk seorang bayi dari satu keluarga terkorban akibat serangan itu.

Penyelamat bergegas menarik keluar mangsa dari bawah runtuhan ketika orang ramai menjerit ketakutan. Sementara itu, dunia terus menyaksikan - malah menyokong - keganasan itu ketika rejim Zionis mengulangi jenayah perang mereka.

Presiden AS, Barack Obama, serta Setiausaha Luar Britain, William Hague, sekali lagi bertegas mendakwa Israel “berhak mempertahankan diri” walaupun berkata, mereka “lebih suka” jika negara pengganas itu mengelak daripada melancarkan serangan darat ke atas Gaza.

Obama berkata, Israel mempunyai hak untuk mengharapkan tiada sebarang misil disasarkan ke wilayah mereka.

Sementara itu, delegasi Liga Arab diketuai Nabeel al-Arabi, akan melawat Gaza hari ini bagi menunjukkan sokongan kepada wilayah berkenaan. Presiden Mesir, Mohammad Mursi, berkata ada “beberapa petunjuk” gencatan senjata akan berlaku tidak lama lagi.-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon