Thursday, November 29, 2012

Marsha Kembali Solo Selepas Putus Cinta


Putus cinta, bercinta dan kembali single semula. Itulah yang sedang dilalui penyanyi, pelakon dan pengacara, Marsha Milan Londoh sekarang ini apabila perkenalannya dengan seorang jejaka yang dilaporkan portal Murai pada September lalu tidak menjadi.


Malah Marsha berkata, hubungan yang dijalinkan bersama seorang jejaka dalam bidang pendidikan itu hanya kekal dalam masa tidak sampai 2 bulan sebelum mereka membawa haluan masing-masing.

“Sebenarnya masa media bertanyakan mengenai hubungan kami, saya masa itu baru sahaja berkenalan dengannya dan masih lagi dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing.

“Lepas kami berkenalan, saya sedari selepas itu kami punya banyak perbezaan dan rasanya sukar untuk kami sesuaikan dengan diri masing-masing. Malah perkenalan kami selepas itu tidak kekal lama. Mungkin tiada jodoh kami berdua dan nampaknya saya sekarang kembali solo,” katanya ringkas kepada murai.com.my yang ditemui baru-baru ini.

Marsha memberitahu dia kini hanya menerima ketentuan itu dengan hati yang terbuka, malah kini lebih kuat apabila sentiasa didampingi bersama keluarga tercinta.

“Saya tidak terasa sangat dengan perpisahan ini kerana hubungan kami tidak kekal lama. Malah kami segera membawa haluan masing-masing selepas kami sedari tiada keserasian lagi.

“Meskipun saya tiada teman istimewa tetapi saya masih ada cinta dan saya masih hidup dengan cinta daripada keluarga saya yang sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk lebih kuat,” jelasnya yang bakal muncul dalam filem terbaru Kahwin 5 pada 27 Disember ini.

Menurut Marsha lagi, dia sekarang mahu lebih menumpukan perhatiannya pada kerjayanya berbanding memikirkan soal cinta.

“Saya tahu usia saya semakin meningkat dan sekarang sepatutnya saya sudah punya teman untuk memikirkan soal kahwin. Lagipun emak saya juga sudah mula bising.

“Tetapi, saya kini mengambil keputusan untuk lebih fokus pada kerjaya nyanyian. Malah, kini saya dalam proses merakamkan album kedua. Setakat ini sudah 80 peratus siap dan saya jangka akan melancarkannya paling cepat awal atau pertengahan tahun hadapan,” tambahnya.

Mengenai album terbarunya, Marsha bakal memuatkan single duetnya bersama Randy Pangalila berjudul Selalu Milikmu selain 7 lagu lain termasuk 4 buah lagu yang sudah dirakamnya seperti Tentang Cinta, Biar, Jujur Bilang Cinta dan Kepastian Cinta.

-Murai.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon