Saturday, November 10, 2012

Kejam! Rai Pembunuhan 4 Mangsa


Ketiga-tiga tertuduh kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, sebenarnya meraikan pembunuhan semua mangsa di Ladang Gadong pada malam 30 Ogos 2010 dan bukannya menyambut Hari Kemerdekaan, Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu semalam.

Anggota polis membawa keluar Pathmanabhan bersama Kathavarayan, 
Thilaiyalagan dan Matan selepas perbicaraan kes bunuh 
Sosilawati di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Tertuduh ketiga, R Matan, 21, dalam pembelaannya, bagaimanapun menafikan cadangan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani serta menjelaskan dia sememangnya menyambut Hari Kemerdekaan dengan menaikkan bendera Malaysia dan Selangor selain menyanyikan lagu Negaraku.
Matan berkata, sambutan itu dilakukannya bersama tertuduh kedua, T Thilaiyalagan; tertuduh keempat, R Kathavarayan atau dikenali sebagai Ravi, serta dua saksi pendakwa, K Sarawanan dan U Suresh.

Disoal Idham sama ada tertuduh meraikan Hari Kemerdekaan setiap tahun Matan berkata, pada tahun itu dia berada di ladang dan mereka memutuskan untuk menyambutnya.

Idham: Saya cadangkan kamu menyambut Hari Kemerdekaan selama satu hingga dua jam dan sambutan berakhir pada jam 2.30 pagi, 31 Ogos 2010?

Matan: Saya tidak ingat.

Idham: Ada menyalakan unggun api dan bermain bunga api serta mabuk?
Matan: Tidak.

Sementara itu, ketika disoal mengenai keakrabannya dengan Thilaiyalagan, Matan menafikan mempunyai hubungan yang rapat dengan tertuduh kedua itu dan sanggup tolong menolong antara satu sama lain.

Idham: Kamu pandang muka Thilaiyalagan (duduk bersama bekas peguam, N Pathmanabhan dan Kathavarayan dalam kandang tertuduh).

Kamu perasan tak kamu memakai baju merah dan seluar jenama yang sama dengannya, bukankah itu membuktikan kamu rapat dengannya?

Matan: Keluarga yang belikan pakaian itu dan kami pakai saja.

Ketika dikemukakan gambar stor tempat kejadian di Ladang Gadong Matan berkata, sepanjang bekerja di situ dia tidak pernah nampak dua botol di atas kerusi dan kayu kriket seperti dirakamkan polis dalam gambar itu.

Matan mengakui tahu bermain kriket tetapi tidak pernah bermain permainan itu dan tiada sesiapa di ladang itu bermain permainan berkenaan kerana mereka tiada masa.

Dalam keterangan saksi sebelum ini, bahan bukti seperti kayu kriket dan tompokan darah yang ditemui dalam satu bilik di rumah di ladang itu disahkan mempunyai kesan DNA milik seorang daripada mangsa, pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad.

Sarawanan, 20, yang juga pekerja bengkel dan Suresh, 27, pekerja ladang, kini dihukum penjara 20 tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, melupuskan bukti dengan membakar mayat dan membuang abu mayat semua mangsa.

Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31; dituduh membunuh Sosilawati, 47; pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan Noorhisham, 38.

-Bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon