Tuesday, November 27, 2012

Kaki Bocor Di Baham Buaya!


“Saya ingatkan batang kayu dan terus berdiri di atasnya, tetapi benda itu tiba-tiba menggigit kaki kanan saya,” kata Mohamad Azlan Marzuki, 20, mangsa serangan buaya di Pantai Pasir Panjang di sini, kelmarin.

Gambar hiasan

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Azlan dari Kampung Haji Mat Taib, Kuching mengalami pendarahan teruk di bahagian kaki kanan selepas dipercayai digigit buaya ketika mandi di pantai berkenaan bersama beberapa ahli keluarganya.

Menurut Azlan, dia bersama keluarga menghabiskan cuti hujung minggu dengan berkelah di tepi pantai berkenaan, namun tidak menyangka kunjungan pertamanya itu membawa tragedi yang hampir meragut nyawanya.

“Saya berenang berseorangan kira-kira 20 meter dari kawasan pantai, tiba di satu kawasan saya rasa seperti berdiri di sebatang kayu, tetapi tiba-tiba benda itu menggigit saya.

“Saya cuba melepaskan diri dengan menyepak kepala buaya itu sebelum berenang ke tepi pantai bagi mendapatkan pertolongan.

“Dengan sepenuh tenaga saya cuba melepaskan diri daripada gigitan buaya itu, selepas beberapa kali mencuba baru reptilia itu melepaskan kaki saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, setibanya di tepi pantai dia melihat ada tujuh hingga lapan kesan gigitan gigi buaya di bahagian kaki kanan dan mengalami pendarahan yang banyak.

“Saya pitam apabila melihat darah keluar dengan banyak dan kesan gigitan yang agak dalam, namun bersyukur berjaya melepaskan diri daripada dibaham haiwan yang dianggarkan berukuran lebih dua meter itu,” katanya.

Azlan yang dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut berkata pengalaman itu menyebabkan dia tidak lagi berhasrat untuk mandi di pantai berkenaan.

Kejadian yang menimpa Azlan itu adalah yang kedua berlaku di kawasan sama di mana pada 22 Ogos lalu, kira-kira jam 7.30 pagi, seorang pelajar, Ashley Austin Chin, 14, cedera di kedua-dua kaki akibat serangan haiwan itu.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon