Saturday, November 10, 2012

Israel Secara Terang-terangan Langgar Undang-undang Antarabangsa


Malaysia mengulangi pendirian sekian lama bahawa pembinaan penempatan haram oleh Israel di tanah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa.


Sekiranya Israel komited dalam mencari penyelesaian kepada masalah Palestin, maka penempatan ini perlu diroboh dan tiada penempatan haram yang baru dibina semula di atas tanah Palestin.

Pendirian negara itu dibangkitkan oleh Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff dalam laporan jawatankuasa khas bagi menyiasat amalan Israel yang menjejaskan hak asasi manusia rakyat Palestin dan warga Arab lain di wilayah yang didudukinya.

Laporan itu dibentangkan pada Jawatankuasa Keempat Sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB di New York, Jumaat.

Hussein berkata apa yang menggemparkan ialah dalam tempoh antara 1 Januari dan 1 Julai tahun ini, sebanyak 378 struktur yang dibina oleh rakyat Palestin telah dirobohkan dan tahun lepas sahaja, sebanyak 222 buah rumah penduduk Palestin dimusnahkan di Tebing Barat.

"Undang-undang antarabangsa tidak mempunyai makna kepada Israel. Dasar aktif menyokong dan membina penempatan haram diteruskan dengan 500,000 rakyat Israel tinggal di 150 penempatan baru di wilayah diduduki. Situasi itu akan terus menjejaskan usaha untuk memulakan semula Rundingan Damai.

"Tanpa Rundingan Damai semula, sebarang harapan untuk melihat keamanan kekal semakin terhakis. Kita tidak boleh berdiam diri manakala rakyat Palestin terus menderita.

"Malaysia sekali lagi menggesa Perhimpunan Agung untuk mengambil langkah baru bagi menangani rekod Israel yang enggan berkerjasama dengan PBB termasuk ingkar dan mengabaikan resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung," kata Hussein.

Beliau berkata Israel, sebagai kuasa penjajah, mesti menanggung tanggungjawab terhadap keselamatan orang awam Palestin di bawah undang-undang antarabangsa terutama dalam Konvensyen Geneva Keempat.

Katanya Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan mesti mengambil langkah yang wajar bagi memastikan Israel melindungi orang awam di wilayah yang didudukinya.

Dalam hal ini, katanya Malaysia menggesa Israel menghentikan penahanan sewenang-wenangnya rakyat Palestin dan segera menarik balik sekatan haram di Semenanjung Gaza bagi membolehkan aliran segera bekalan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusian.

-Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon