Thursday, November 01, 2012

China Haramkan Alat Permainan Helikopter Kawalan Radio


China semalam mengharamkan penjualan helikopter dan kapalterbang kawalan radio di bandar raya ini.


Langkah itu bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan menjelang perubahan pucuk pimpinan sekali dalam satu dekad berlangsung di Beijing.

Bagi beberapa model helikopter dan kapal terbang, yang hanya boleh dikawal dalam jarak beberapa meter saja pembeli mesti membuktikan identiti mereka kepada penjual, lapor akhbar Youth Daily.

Kedai lain diarah menggantung sama sekali penjualan mainan itu.

Tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan ketika Parti Komunis bersiap sedia untuk satu majlis penyerahan kuasa yang dijual berlangsung pada Kongres ke-18 Parti Komunis, bermula 8 November.

Kira-kira 1.4 juta sukarelawan digerakkan untuk membantu melindungi perhimpunan yang dijangka dihadiri ramai jemputan.

Beijing turut mengenakan tekanan ke atas pengkritik kerajaan menjelang mesyuarat itu.

Aktivis, Hu Jia dipaksa meninggalkan bandar raya berkenaan dan tinggal di rumah keluarganya di Anhui sehingga kongres itu tamat, kata Human Rights Watch, kumpulan hak asasi yang berpejabat di New York.

Media tempatan juga melaporkan mengenai peningkatan dalam pemeriksaan identiti terhadap penumpang kenderaan awam di Beijing.

Pegawai keselamatan turut meningkatkan pengawasan ke atas perkhidmatan kereta api dari Xinjiang, wilayah barat laut negara itu yang majoriti penduduknya beragama Islam. Isu itu dibincangkan dengan meluas oleh pengguna Internet di laman sembang paling popular negara itu, Sina Weibo.

Seorang pengguna berkata, dia diarah mengisi borang apabila menaiki sebuah teksi. Antara yang perlu dinyatakan dalam borang itu ialah maklumat peribadi dan destinasinya.

Seorang pengguna lain berkata, dia tidak dibenarkan membeli pisau kerana sekatan yang dikenakan menjelang perhimpunan berkenaan.

-AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon