Friday, November 30, 2012

Berpantang Maut Sebelum Ajal


“Saya tidak ingat apa yang berlaku sejurus peluru raifal itu menembusi perut. Saya hanya sempat mengucap dua kalimah syahadah sebelum tidak sedarkan diri.


“Saya sangka ajal sudah sampai dan tak sangka masih hidup,” kata Abdul Mohamad Isme, 27, seorang daripada ribuan rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan rejim Israel sepanjang bedilan roket selama lapan hari bermula 14 November lalu.

Dia yang ditemui di Hospital Khan Younis, di sini, semalam berkata dia ditembak tentera Israel ketika sedang berada di ladang pokok Zaitun miliknya di Alkara pada 20 November lalu. Menurutnya, sekumpulan tentera Zionis tiba-tiba muncul sebelum mengacukan raifal dan senjata berat ke arahnya dari jarak dekat.

“Tanpa sebarang amaran, tentera terbabit terus melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah saya yang tidak bersenjata.

Abdul Mohamed berkata, dia hanya tersedar selepas dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan terpaksa menjalani pembedahan bagi merawat perut hingga belakang tubuhnya yang ditembusi peluru.

“Saiz peluru digunakan amat luar biasa dan saya kini tidak mampu menggerakkan tubuh kecuali tangan,” katanya dalam keadaan menderita kesakitan.

Menurutnya, tindakan keji tentera Zionis itu bertujuan menakut-nakutkan golongan petani dan menghalau penduduk Gaza dari tanah ladang dimiliki selama ini.

“Tapi, jangan fikir saya akan mengalah. Tanah ini milik kami dan saya tetap akan kembali ke situ jika diizinkan Allah SWT sembuh kelak,” katanya.

Serangan menggila tentera Zionis selama lebih seminggu itu menyebabkan ratusan mangsa kini terlantar di katil hospital dan ramai juga yang mengalami kecacatan kekal.

Kebanyakannya membabitkan golongan kanak-kanak dan belia yang dirawat di Hospital Khan Younis dan Hospital Al Sifa’ di sini, akibat putus kaki atau lumpuh selepas terkena letupan roket dan tembakan senjata berat.

Seorang mangsa dirawat di Hospital Khan Younis, Abdul Malek Abu Syamil, 26, putus kaki kanan akibat ditembak roket disasarkan pesawat tanpa juruterbang dikenali sebagai Drone milik Zionis.

Dalam kejadian 17 November lalu, pesawat Drone yang terbang di ruang angkasa Gaza bertindak melepaskan roket ke arahnya yang sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah.

“Dalam sekelip mata ledakan kuat berlaku sebelum motosikal ditunggang berkecai. Saya turut terpelanting sebelum mendapati kaki kanan hancur dan putus.

“Malah tulang tangan dan kaki kiri saya turut patah remuk. Saya cuba bangkit namun gagal dan jatuh pengsan akibat terlalu sakit,” katanya.

Menurutnya, tindakan gila tentera Isreal menggunakan pesawat Drone untuk menyerang orang awam di Gaza adalah taktik pengecut dan tidak berperikemanusiaan.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon