Wednesday, November 07, 2012

Ana Dahlia Menyesal Kahwin Terlalu Awal


Berita mengenai keretakan rumah tangga, Chef Riz dan Ana Dahlia bukanlah khabar angin lagi. Baik Riz mahupun Ana, kedua-duanya akur dengan masalah yang sedang menimpa perkahwinan mereka.


Enggan mengulas lanjut mengenai punca keretakan, Ana bagaimanapun mengakui kesal terburu-buru membuat keputusan mengahwini anak Chef Wan itu.

“Perkenalan kami terlalu singkat. Hanya tiga bulan dan terus berkahwin. Ketika itu saya tidak berfikir panjang kerana mengenangkan keluarganya cukup baik dengan saya.

Mengulas mengenai reaksi bapa mentuanya, Ana atau nama sebenarnya, Diyana Mastura Jaafar, 29, berkata, dia bersyukur kerana Chef Wan memahami situasi yang sedang dihadapinya.

“Dalam keadaan sekarang, Papa (Chef Wan) sentiasa berada di belakang saya. Dia juga sering menasihati saya dan hubungan kami sangat rapat.

“Malah saya juga mendapat sokongan penuh daripada keluarga sendiri,” kata Ana ketika menghadiri majlis sidang media pelancaran drama terbaru Slot Akasia, Cinta itu Milikku, di Sri Pentas.

Aktres yang terkenal dengan rambut hitam mengurai ini turut mengulas mengenai dakwaan dia berlaku curang dan sedang menjalinkan hubungan dengan bekas kekasihnya.

Menafikan perkara itu sekeras-kerasnya, Ana berkata, Riz lebih tahu perkara sebenar yang menimpa rumah tangga mereka.

“Saya yakin sudah melakukan yang terbaik sebagai isterinya. Saya mohon masyarakat jangan menilai saya dari berita yang tidak benar itu. Ia hanya mengeruhkan lagi keadaan.

“Apa pun saya berharap masalah kami dapat diselesaikan secara baik,” kata Ana yang turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam rumah tangganya.

Menyentuh mengenai laporan bahawa dia dan Riz sudah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Ana lebih senang membiarkan media terus berteka-teki.

“Saya percaya pihak media akan dapat tahu perkara sebenar nanti. Jadi tidak perlulah saya memberi jawapan,” ujar Ana.

Ana dan Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, telah bernikah pada 11 Disember 2011.

-Mynewshub.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon