Thursday, November 01, 2012

Ahli Perniagaan Wanita Terkenal India Bunuh Diri


Seorang usahawan terkemuka India ditemui mati tergantung hanya beberapa hari selepas dia membuat laporan polis diganggu oleh mentuanya.


Akanksha Rathi, 32, memberitahu polis, ibu dan bapa mentuanya cuba untuk menghalang dia daripada menuntut harta pusaka suaminya, Anirudh Rathi. Mereka mendakwa, Akanksha tidak pernah bersikap baik terhadap suaminya.

Ahli perniagaan wanita yang glamor itu dan terkenal di kalangan perniagaan keluli yang didominasi kaum lelaki ditemui mati di kediaman ibu bapanya di sini pada 23 Oktober lalu hanya beberapa minggu selepas suaminya mati akibat serangan jantung.

Akanksha mendakwa keluarga suaminya melakukan penderaan mental ekoran kematian Anirudh pada 4 September lalu dan cuba menghalangnya mewarisi sebahagian empayar perniagaan keluli keluarga itu. Akanksha memulihkan sebuah cawangan perniagaan keluarga itu dengan keuntungan 43 juta pound (RM215 juta) setahun sejak beberapa tahun lalu dan dia telah memenangi Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik pada 2009.

Polis berkata, ibu bapa Anirudh merampas harta menantunya itu dan mendakwa dia tidak berhak untuk mewarisi harta berkenaan selepas dia berkunjung ke New Delhi untuk menghadiri upacara keagamaan untuk Anirudh. Dia kemudian dilaporkan hilang dan ditemui tergantung pada kipas siling di kediamannya selepas mengambil pil tidur.

Pasangan itu berkahwin pada 2004 atas dasar suka sama suka walaupun mendapat tentangan daripada ibu bapa Anirudh.

Keluarga Anirudh adalah satu daripada keluarga terkaya kasta Jat di India. Jurucakap polis Abid Khan memberitahu media: “Akanksha memfailkan aduan mengenai gangguan berkaitan hantaran kahwin terhadap mentuanya awal bulan lalu.

“Dia menuduh mereka menyeksanya secara mental dan melemparkan kata-kata kesat terhadapnya.

“Kami telah menghantar pasukan ke Delhi untuk menahan tertuduh yang dinamakan dalam laporan dibuat, tetapi mereka memperoleh ikat jamin,” katanya.

Aktivis hak asasi wanita berkata kematian Akanksha menggambarkan ‘hakikat sedih’ kebanyakan wanita di India di mana kecantikan atau kejayaan tidak dapat mengatasi prejudis kasta.

Ibu Akanksha, Anita Singh berkata: “Justeru tidak dapat menangani trauma dihadapinya, anak perempuan saya mengakhiri hidupnya.”

-DM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon