Thursday, November 15, 2012

7 Gelaran Kejuaraan Lance Armstrong Dilucut dan Dipadamkan Dari Sejarah!


Segala-galanya berlaku beberapa minggu nama bekas pelumba basikal itu dipadamkan daripada sejarah Tour de France selepas didapati bersalah menggunakan dadah penggalak prestasi.


Lance Armstrong menyiarkan gambarnya di media sosial menunjukkan dirinya berbaring di bawah jersi kuning Tour de France yang masih tergantung di biliknya.

Pelumba Texas itu dilucutkan daripada tujuh gelaran itu selepas penyiasatan daripada Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA) mendapatinya bersalah kerana menggunakan dadah penggalak prestasi.

Begitupun imej yang dikongsinya di laman sosialnya dengan tulisan ‘Kembali dari Austin dan hanya berehat..’ menunjukkannya berbaring di sofa di bawah tujuh jersi Jelajah yang kini dilucutkan gelarannya.

Jersi itu digantung pada bingkai di dindingnya berhampiran sofa berbentuk L, setiap satu diterangi mentol dan sepasang langsir dibiarkan terbuka untuk mendedahkan jersi terbabit.

Bulan lalu, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengesahkan kenyataan USADA, yang memutuskan bahawa Armstrong dan pasukannya, US Postal adalah “program doping paling canggih, profesional dan berjaya yang pernah disaksikan dunia sukan”.

Semua pencapaian Armstrong dari 1 Ogos 1998 dipadamkan dari rekod dunia termasuk tujuh kemenangan berturut-turut Tour de France yang dimilikinya dari 1999 hingga 2005 dan pelumba berusia 41 tahun itu digantung sepanjang hayat.

Agensi Anti Doping Dunia (WADA) turut mengumumkan minggu lalu bahawa mereka tidak akan merayu untuk tindakan itu manakala Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) turut menjalani penyiasatan yang mungkin akan menyebabkan Armstrong kehilangan pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara ujian masa lebuh raya pada Sukan Olimpik 2000.

Armstrong tidak bekerjasama dengan penyiasatan USADA dan sentiasa menafikan kesilapannya dan biarpun sudah memadam tulisan ‘juara Tour de France tujuh kali’ daripada profil Twitternya, gambar yang disiarkan dilihat agak provokatif.

Hukuman USADA itu turut membabitkan 11 daripada bekas rakan sepasukan Armstrong dikenakan penggantungan enam bulan selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan doping dalam testimoni mereka terhadapnya.

Penunggang basikal bukit Afrika Selatan, David George, yang menyertai US Postal dari 1999 hingga 2000, turut digantung apabila disahkan positif mengambil penggalak darah yang dilarang, EPO.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon