Tuesday, October 16, 2012

Senarai Pesalah 'Cabul' Terhadap Kanak-kanak Didedah


Senarai pesalah seks terhadap kanak-kanak di Australia didedah kepada umum, hari ini dengan gambar dan nama mereka boleh diakses oleh orang ramai melalui internet.


Namun, timbul kebimbangan ia akan menyebabkan ada pihak yang mengambil tindakan undang-undang sendiri dan wujudnya salah identiti.

Laman web Perlindungan Komuniti itu merupakan inisiatif kerajaan tempatan Australia Barat (WA) yang menyediakan maklumat mengenai pesalah seks paling berbahaya.

''Ia merupakan tindakan seimbang antara keselamatan masyarakat dan pengurusan kemampuan polis menangani pesalah seks berbahaya dan pesalah yang boleh dilaporkan dalam sesebuah masyarakat.

''Saya rasa ia amat berguna untuk ibu bapa mencuba dan membantu menjaga keselamatan anak-anak mereka,'' kata Menteri Polis WA, Liza Harvey, di sini.

Jurucakap Skuad Jenayah Seks Kanak-kanak, Detektif Senior Sarjan Daryl Noye berkata, nama 120 orang yang dikenal pasti telah disenaraikan dalam lawan web tersebut.

Bagaimanapun, polis berkata, laman web tersebut tidak boleh dilayari, hari ini kerana terdapat masalah pada pelayannya.

Pada awalnya, laman web itu memaklumkan mengenai sembilan pesalah yang gagal dikesan atau gagal melapor diri seperti dikehendaki pihak berkuasa melalui gambar, tarikh lahir, bentuk fizikal dan nama mereka.

Laman web itu juga akan membenarkan ibu bapa memasukkan alamat mereka untuk mengetahui jika terdapat pesalah seks yang tinggal berdekatan.

Bagaimanapun, kumpulan perundangan mempersoalkan sejauh mana keberkesanannya dan menimbulkan kebimbangan ia disalahguna.

Presiden Persatuan Peguam Jenayah WA, Linda Black berkata, pihak berkuasa akan menghadapi kesukaran menghalang penyebaran gambar itu di Internet.

-AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon