Wednesday, October 24, 2012

Gangnam Style Tidak Diminati di Jepun


Ketika fenomena Gangnam Style nyanyian Park Jae-sang atau dikenali sebagai Psy hangat melanda seluruh dunia, situasi sebaliknya berlaku di Jepun.


Ada yang berpendapat krisis pertikaian wilayah maritim yang menyebabkan hubungan tegang antara kedua-dua negara menjadi punca, namun persoalannya mengapa muzik K-Pop mempunyai ramai peminat di Jepun, sebaliknya lagu yang popular dengan tarian kuda nyanyian Psy tidak?

Gangnam Style kini menguasai carta United Kingdom (UK) dan ketika ini menduduki tempat kedua dalam carta Billboard Amerika Syarikat (AS), tetapi hanya mendapat tempat ke-30 carta iTunes Jepun.

Kebanyakan blog muzik Jepun juga mendakwa kejayaan video itu di YouTube disebabkan tontonan rakyat Korea Selatan yang menggunakan program khas yang dikenali sebagai 'bots'.

Sesetengah rakyat Jepun menyamakan lagu itu sebagai F5 Style, merujuk kepada satu kekunci yang digunakan untuk memperbaharui paparan tetingkap Internet.

Semalam, Institut Penyelidikan Gelombang Korea (KWRI), sebuah badan yang mempromosi budaya popular Korea Selatan secara agresif bertindak mempertahankan kenyataan tersebut.

Presidennya, Han Koo-hyun berkata, kritikan keterlaluan Jepun adalah tidak munasabah dan ibarat 'mempertikaikan rekod dunia dalam Sukan Olimpik.'

"Mereka sebenarnya cemburu dengan kejayaan lagu ini," katanya.

Beberapa sebab lain turut dikaitkan dengan sambutan dingin Gangnam Style di Jepun termasuk Psy tidak mengikut cara bintang K-Pop lain yang menghasilkan lagu itu dalam versi Jepun.

-AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon